Puisi-puisi Haji Mar
Surat Kepada Akar
– dari aku yang belum selesai menjadi tanah
wahai akar,
ajarkan aku menjadi tabah
tanpa harus kuat,
menjadi alam
tanpa harus nampak.
di matamu yang buta,
aku ingin jadi luka
yang menumbuhkan pohon.
jika nanti aku pergi,
biarlah namaku
tidak ditulis di batu
cukup kau simpan
di antara simpulmu
yang terus mengakar
ke arah sunyi.
H.MAR
Brunei Darussalam
Langit Yang Menyimpan Rahangmu
Langit di atas meja ini bicara padaku,
dengan suara yang pernah kau pakai saat diam.
Cawan teh menampung sisa gelakmu,
yang kini hanya buih
menempel di bibir cermin yang tak punya wajah.
Aku tahu,
di sini cinta berkarat dengan manis,
dan pelukan berubah jadi kabut
yang menolak disentuh.
Namun dari rak buku yang tak membaca,
bayangmu duduk,
mengunyah waktu
yang tak pernah lahir.
Dan malam ini,
aku disapa oleh rahangmu
yang masih disimpan langit
dalam kantung gelapnya.
H.MAR
Brunei Darussalam
Bantal yang Mengigaukan Melaikat
Aku bangun dari malam
yang tidak pernah tidur sepenuhnya
aku hanya memejamkan satu mata
dan membiarkan yang satu lagi
menatap dosa-dosa kecilku yang membusuk.
Malaikat duduk di tepi ranjang,
membacakan doa
yang tidak lagi punya kata-kata.
Aku berterima kasih,
kepada lubang hitam dalam dadaku
yang tidak pernah selesai mengisap
segala bentuk harapan.
Di bawah selimut,
bayangku menyusup keluar
dan menggantikan aku
dalam tubuh yang kaku.
Kepalaku berdarah,
bukan kerana luka,
tapi kerana mimpi
menolak keluar dari tengkorak.
Dan ketakutan
berubah menjadi peliharaan,
berbaring tenang
di dada yang menggigil.
H.MAR
Brunei Darussalam
Pokok yang Menangis dengan Bunga
Di taman terlupakan,
sebatang pokok tua mula menangis.
Bukan air matanya yang jatuh,
tetapi bunga-bunga berwarna kelabu
yang tumbuh dari kulitnya sendiri.
Angin tidak mahu meniupnya,
kerana setiap kelopak membawa
suara seorang anak
yang pernah duduk di bawah rimbunnya
dan tidak pernah kembali.
H.MAR
Brunei Darussalam
Museum Tulang Tanpa Nama
Seratus tahun telah berlalu
dan masih ada detik yang tersangkut
di gigi arloji yang patah.
Wajah yang pernah hidup kini jadi langit-langit
di dalam tengkorak yang tak ingat tubuhnya.
Mereka bilang:
tiada yang benar-benar mati
selama bayang-bayang masih berkedip di mata tertutup.
Namun siapa yang akan menandai pusara
jika bumi pun telah melupakan tanahnya sendiri?
Puluhan tahun,
kesunyian menjahit sarung untuk roh yang kedinginan.
Ia mengenakan diam
seperti jubah raja yang kehilangan mahkota.
Tidak ada yang kembali,
kerana semua suara
telah berubah menjadi debu aksara
di halaman kitab yang terbakar sebelum ditulis.
Dan kini dari perut dunia yang membatu,
terdengar nyanyian
bukan dari suara,
tapi dari retak batu nisan
yang terus belajar menyebut namanya sendiri.
H.MAR
Brunei Darussalam
—
*H.MAR, nama pena bagi Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, ialah seorang penulis dari Brunei Darussalam dan Pegawai Bahasa Kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam. Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Brunei Darussalam. H.MAR memulakan perjalanan sasteranya pada tahun 1984 dan sejak itu telah membina karya yang luas dan pelbagai merangkumi puisi, cerpen, novel, drama pentas, penerbitan akademik, dan esei. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 1,000 buah puisi, lebih 500 cerpen, tiga buah novel, lebih 80 drama pentas, lima buku akademik, dan lebih 100 esei. Karya-karyanya telah diterbitkan secara meluas serta diterjemahkan ke dalam lebih daripada lima belas bahasa di seluruh dunia. Beliau merupakan penerima Anugerah Buku Borneo bagi kategori Penulis Prolifik, 2025 dan Anugerah Buku Antarabangsa ASEAN bagi kategori Penulis Terbaik ASEAN, 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada kesusasteraan serantau dan global.




