Puisi-puisi Abang Patdeli Abang Muhi
Penjilat
Barangkali,
sudah tersurat dalam lohmahfuz bahawasanya
demi pangkat dan darjat
demi kuasa yang tidak kekal lama
demi harta yang tidak seberapa
demi kedudukan yang tidak setinggi mana
ada sida-sida yang sejak sekian lama
kerjanya hanya membodek dan menjilat
meski mereka tahu persis yang dijilat itu penuh nista dan najis
kendati mereka tahu benar yang menjilat itu kehinaan balasannya.
Yang dijilatnya bukan yang di bawah
tetapi yang di atas
kerana yang di atas suka dijilat
dan yang di bawah harus menjilat.
Demi keseronokan hidup yang sementara cuma
ia terus-terusan menjilat yang di atas
kerana kalau menjilat yang di bawah
ia tidak akan dapat apa-apa
sebab yang di bawah bukan siapa-siapa.
Untuk hidup
yang di atas juga rela dirinya dijilat yang di bawah
kerana beliau sedar yang di bawah hanya pandai menjilat
jika yang di bawah jijik menjilat yang di atas
yang di atas akan menyingkirkan yang di bawah
suka tidak suka yang di bawah tetap menjilat yang di atas
kendati yang di atas lebih hina-dina daripada yang di bawah.
Setelah sekian lama bergelumang dosa menjilat yang tidak wajar dijilat
si penjilat pun kehilangan akal dan kegilaan
dia jadi gila melontar batu sembunyi tangan
gila menikam kawan dari belakang
gila membuka pekung di dada
gila menconteng arang di muka sendiri.
Konon menurut yang empunya ceritera
tika malaikatulmaut datang menjemput
si penjilat tegar itu mati dengan lidahnya yang terjelir
dan berlendir busuk bagaikan anjing gila.
Sungai Jelai, Pahang
10 Oktober 2000
Bahasa Apa Itu?
Suatu senja
tika aku lewat di Putrajaya yang gah dan indah
puteriku Izzah Azizah namanya
yang usianya baharu sepuluh tahun
tidak semena-mena bertanya sambil menuding telunjuknya :
itu bahasa apa – presint, parcel, alamanda, wetland, park and ride, cruise, PICC?
pelik dan asing, katanya, sambil terpinga-pinga.
Justeru aku menjawab:
itu bahasa Inggeris
bahasa bangsa yang pernah menjajah kita
bahasa bangsa yang telah menjarah hasil mahsul kita
bahasa bangsa yang sudah meludah harga diri kita
bahasa bangsa yang terus-menerus menjajah minda
bahasa dan budaya kita.
Kuperhatikan dia semakin bingung
lantas puteri bongsuku itu bertanya lagi sambil tersengih selamba :
apa erti bahasa itu?
aku terkesima kerana aku pun tidak tahu maknanya
lalu kataku, nanti balik kita buka kamus dan cari ertinya.
Kukira dia berpuas hati tetapi rupa-rupanya tidak
kemudian dia menyoal lagi :
apa kita tidak punya kata-kata sendiri?
aku pun menjawab :
ya, kita ada kata-kata yang lebih indah, santun, manis dan persis
kerana flora dan fauna kita juga kaya-raya
hanya para penguasa kita yang malas berikhtiar
atau mungkin mereka memang tidak punya jati diri
lantas mengambil jalan mudah
dan tanpa segan-silu meminggirkan bahasa jiwa bangsa sendiri.
Puteriku yang manis itu tersenyum sinis
lalu berkata polos :
ah, bahasa ayah pun terlalu tinggi bikin aku makin tidak mengerti!
Putrajaya, Malaysia
31 Ogos 2007
Senyum
Untuk ke sekian kalinya
akan kugubah kuntum-kuntum senyum
yang tulus-mulus
yang kupetik dari taman nurani
yang harum mewangi
kerana kuntuman-kuntuman cantik manis itu
bisa mencairkan hati yang beku
bisa mendamaikan jiwa yang lara
bisa menjadi penawar rindu, dan
bisa menjalin cinta kasih sesama insan.
Jika aku masih punya waktu
akan aku sedekahkan senyuman
seindah rembulan purnama
untuk setitis ganjaran-Nya.
Istanbul, Turkiye
26 Januari 2018
Takbur
Angkuh, sombong dan ranggi bicara, dan lagak mereka bagaikan seluruh makhluk semesta alam ini sudah tunduk takluk kepada mereka, dan sekalian dewa Mars sudah tersungkur menyembah mereka; begitu mereka tersentak daripada ketakburan tingkah dan kelancangan mulut mereka, nusa mereka sudah dilanda banjir besar yang menelan korban yang bukan sedikit. Ketua dan juak-juak mereka yang bongkak dan riak itu pun ketulahan, dan nyaris-nyaris mati kelemasan digulung badai ganas, dan tercekik dek tulang-tulang kata pongah mereka sendiri. Mujurlah Tuhan masih menangguhkan kemurkaan-Nya, kendati mereka tetap takbur tak sudah-sudah.
Kuching, Sarawak
7 Jun 2019
Jejaka yang Gemar Bersumpah
Alkisah
pada suatu malam yang gelap-gelita
tetapi sejuk menggigit sukma
dan menggetarkan jiwa
di atas bahtera cinta berahi
yang terdampar di tengah gelora lautan nafsu
sepasang kekasih yang kemabukan anggur asmara
yang kelemasan dalam pusaran ombak syahwat
si jejaka besar panjang itu pun bersumpah
untuk setia bersama si nona
dalam suka mahupun duka
dalam susah mahupun senang
dalam bahagia mahupun sengsara
dan jika dia mungkir janji
dia reda dihukum-Nya
dan jika dia melanggar sumpah
dia rela dilaknati-Nya.
Pada detik bunga-bunga cinta hampa
kian layu terkulai
pada waktu madu kasih mesra
mulai terasa pahit
pada saat kuntum-kuntum sayang
semakin tawar harumnya
si jejaka berhidung belang
dan berhati dingin itu pun
mengusir si nona dari lubuk hatinya
tanpa secebis pun rasa bersalah
tanpa secolek pun rasa empati
tanpa secubit pun rasa belas kasihan
dia setiap kali bersamanya
dia acap kali bersumpah
dan menjanjikan bulan purnama
dan bintang kejora untuk si nona
yang dia tidak berniat untuk mengotakannya.
Ironinya si nona manis
bermata bening jernih
berbibir basah lunak
berbuah dada ranum
dan berhati lembut sutera itu
tidak pernah berputus asa
tidak pernah berniat jahat
tidak pernah berhajat khianat
dia hanya inginkan satu teluk kecil
tetapi indah dan damai
di pulau hati jejaka idamannya itu
namun itu pun tak bisa ia kecap
pun begitu janji mati bersama di hujung kuku
dan sumpah hendak berkubur di tapak tangan
rupa-rupanya manis di bibir cuma.
Setelah hatinya remuk redam
jiwanya menderita dan
seksa perasaannya tak tertanggung sakitnya
dia berdoa setulus hati:
jika ditakdirkan dia mati dahulu
si jejaka yang gemar bersumpah itu
akan dimakan sumpahnya sendiri
dan dia sendiri yang akan membuka aibnya.
Syahadan
tidak berapa lama setelah kematiannya
akhirnya jejaka yang gemar bersumpah itu
hilang kuasa dan lesap gengsinya
harga dirinya pula terhumban ke lembah nista.
Meski berulang kali dia memungkiri janji
dan acap kali mengingkari sumpahnya
Tuhan al-Hakam tidak segera menghukumnya
malah menangguhkan laknat-Nya.
Kuala Lumpur
20 Disember 2019
Lelaki Berida III
Suatu waktu dahulu lelaki berida yang bercambang putih hitam
dan kusut kasau terkulai longlai di ranjang pojok rumah sakit itu
ialah seorang seniman bestari tapi ranggi
seniman cendekia tapi egois
seniman gengsi tapi oportunis
yang seringkali menulis puisi-puisi dusta
tanpa hati nurani
dan ketika racaunya kian parah dia melaungkan sajak Chairil Anwar:
Aku ini binatang jalang dari kumpulannya terbuang!
Kuala Lumpur
27 Februari 2020
Orang Seperti Kita
Orang seperti kita
selalunya dilirik sebelah mata
hanya kerana kita orang kecil
yang kerdil dan
tidak banyak bicara.
Orang seperti kita
lazimnya ditendang seperti bola
hanya kerana kita orang biasa
yang lemah dan
tidak suka merengus.
Orang seperti kita
biasanya dipandang rendah
hanya kerana kita orang naif
yang daif dan
tidak gemar membuka aib.
Orang seperti kita
sering kali dimanipulasikan
hanya kerana kita orang polos
yang lurus dan
tidak suka mendengus.
Orang seperti kita
acap kali diremehkan
hanya kerana kita orang tak punya
yang selalu mengalah dan
tidak mahu membantah.
Orang seperti kita
kalau bertubi-tubi dihina-dina
dan diinjak-injak maruah diri kita
pasti akan hilang sabar
dan tercabar
lantas siap siaga untuk berlaga.
Orang seperti kita
jika berkali-kali dizalimi
pasti akan bangkit menderhaka
demi harga diri yang masih tersisa.
Bangkok, Thailand
27 Oktober 2023
Siapa Sangka dalam Diam
Siapa sangka dalam diam berisi
dia menyulam kalam tajam
menganyam kalimat hikmat, dan
menggubah ilham rahmat
menjadi bunga-bunga mekar puisi manusiawi
menjadi buah-buah ranum cerpen madani
menjadi pohon-pohon tegap novel insani, dan
menjadi akar umbi karya seni berhati nurani.
Siapa sangka dalam diam merekayasa daya cipta
dia kurang berbicara hampa, tetapi banyak berfikir bijaksana
dia kurang berbual kosong, tetapi banyak bertindak cermat
dia tidak beretorika besar, tetapi tekal berkarya pintar
kerana dia bukan menulis untuk menempa nama
kerana dia bukan menulis untuk memuja siapa-siapa
kerana dia bukan menulis untuk imbalan dunia, tetapi
dia menulis demi bahasa jiwa bangsa
dia menulis demi persuratan bangsa
dia menulis demi literasi bangsa
dia menulis demi legasi bangsa
dia menulis dengan hati nurani yang ikhlas mewangi, dan
dia menulis dengan kehalusan dan ketinggian akal budi.
Siapa sangka dalam diam-diam
setelah beberapa dasawarsa jujur berkarya
dan berani bersuara
setelah sekian lama ligat bergiat, dan jitu berbagi ilmu
akhirnya gelar sasterawan terpilih
anugerah berprestij lagi bererti
menjadi miliknya yang absah, dan
sebagai bukti sahih, bahawasanya:
kepengarangan, kesasterawanan, kecendekiaan,
ketokohan, dan kewibawaannya yang handal
dalam ranah persuratan negeri dan nasional
serta dek banyak kali tampil dan terampil
berwacana, bersastera dan berdrama
di manca negara tetangga dan dunia
mewajarkan dia dinobatkan sebagai sasterawan ibu pertiwi
dan nantinya dengan doa mulus untuk meraih gelar yang lebih besar.
Dalam diam, dia sujud syukur dan reda kepada al-Razzaq,
Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki.
Pontianak, Kalimantan Barat
21 November 2024
Aku Tiba-tiba Diminta Baca Puisi
Aku
tiba-tiba diminta baca puisi
sekali gus menjadi wakil negara
hanya kerana aku punya gaya penyair
menampilkan diri bak seniman gengsi
dan sesekali pernah membaca puisi
itu pun kerana aku diminta berbuat begitu
sedangkan aku sendiri masih tidak pasti
aku ini penyairkah atau
sekadar mahu ikut-ikutan
tapi tak mengapalah
justeru acapkali diminta berpuisi
aku tidak banyak bicara
manalah tahu suatu waktu
aku bisa menjadi seperti Jalalludin Rumi
atau Taufik Ismail dan Hamzah Fansuri
bahkan Baha Zain serta Djamal Tukimin atau Zefri Arif
dan paling tidak pun menumpang aura Jose Rizal
serta bermimpi seakan-akan Rabindranath Tagore
dan Pablo Neruda
yang semuanya berpuisi di mimbar manusiawi.
Sudah banyak kali
aku tiba-tiba diminta membaca puisi
lalu tanpa segan-silu
tanpa basa-basi
aku merayu, ayuh
kita berbahasa dengan akal budi
kita bersastera dengan hati nurani
kita berpuisi dengan atma murni
kita bina umat serantau se-Nusantara
yang sejagat sepakat
yang serumpun sejiwa
yang sepantun sekata
nan bersatu dalam keanekaragaman
nan beristiqamah dalam perbezaan
lewat bahasa insani
dengan sastera madani.
Usahlah kita gusar segala
jika suatu waktu
kita tiba-tiba diminta baca puisi
kerana itu tandanya kita orang berguna
dan berjiwa seni sejati.
IMLF III
Padang, Indonesia
10 Mei 2025
Hanya dengan Empat Butir Kata
Dan akhirnya, tatkala usianya
menghampiri penghujung senja yang suram
dan saat hati culasnya berbolak-balik tak menentu
dan sewaktu akal lihainya kian nanar menyasar
dan ketika kudrat azamatnya semakin pudar sirna
dia sendiri yang membuka pekung busuk di dada
dia sendiri yang membuka aib jijik kendiri, dan
dia sendiri yang membuka topeng rawananya
tanpa segan-silu dan basa-basi.
Maka, dengan takdirnya Tuhan
lewat mulut buayanya sendiri
terbongkarlah perangai tengiknya
terdedahlah tampang hipokritnya, dan
terjelirlah lidah tedungnya yang berbisa dusta
membuka segala gawang curang
menyingkap segala tabir mungkir
menyelak segala pelekat muslihat, dan
menguak nyiru bangkai gadang gajah
kalbunya yang kacau-bilau
lantas dengan pantas tersebarlah
bahawasanya:
dia politikus egosentrik
dia penguasa manipulatif
dia pemuja diri definitif, dan
dialah pemuka fahaman tak manusiawi Machiavelli :
matlamat menentukan cara
meski natijahnya memalukan bangsa
kendati akibatnya menganiayai saudara seagama
waima padahnya menggores luka hati rakyat jelata
dan meskipun caranya tidak bertatasusila
namun, atas nama perjuangan berterusan
dan kononnya dengan iktikad kudus
semuanya tidak diendahkan
asalkan kursi kuasa dapat ditunggangi
asalkan ghairah diri dapat dipuaskan
asalkan kroni bejat terselamat.
Entah, dek terlupa akan kudrat dan iradatnya Tuhan
akhirnya dia sendiri yang menamatkan
mitos perjuangannya yang belum selesai
hanya dengan empat butir kata:
membuka pekung di dada.
Seri Kembangan, Selangor
1 Januari 2026
—
Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi lahir pada 12 Oktober 1962 di Kampung Tanjung Harapan, Simunjan, Sarawak. Beliau ialah eseis, cerpenis, dramatis, penyajak, kritikus, sutradara teater dan penulis makalah, jurnal serta artikel pelbagai genre. Beliau juga merupakan Sasterawan Sarawak VI, dan banyak menulis dan membentangkan makalah di Malaysia dan mancanegara.





