Puisi-puisi Rohani Din

MENGGENGGAM TISU

 

Sayu

Sendu

Di petang Sabtu

Hujan menyerbu

Angin menderu

Mengundang rindu

Pada kekasihku

 

Kupeluk kelibatmu di dada pusara

Meluruhkan lebat rindu dan lara

Tiada hadiah kecuali sekuntum Fatihah

Sambil menggenggam tisu yang basah.

 

27/11/20

 

 

LIMA DEKAD

 

Di hari  ulang tahun kelahiranmu kuucapkan selamat

Lima puluh tahun bukan waktu yang singkat

Setengah kurun masa berlalu terlalu cepat

Sesaat pun tidak terhambat

 

Waktu berputar tidak lamban dan lambat

Masa berlari tidak terlalu cepat

Ia berdetak mengikut jarak dan had

Tahu-tahu telah melangkau setengah abad

Jaga makan minum yang sihat

Agar jantung tidak tersumbat

 

Fikirlah apakah kau butuh waktu lagi

untuk bersantai dan berehat?

Menata kehidupan dengan lajuran yang terpahat

Kekadang tiba-tiba sakit dalam sihat

Mencipta kenangan masam  manis payau pahit kelat

 

Setengah abad nyawa terikat

Roh semangat minda bersahabat

Apakah sudah cukup ilmu dan amal ibadat?

Berbaik sekeliling tetangga dan masyarakat

 

Lima puluh tahun atau lima dekad

Lebih tepat setengah abad

Makan minum harus bersih suci halal dan berkhasiat

Jangan ada yang tersembunyi syubhat

 

Di hati jangan terselit niat jahat

Buatlah sesuatu kerana adanya minat

Usah sesekali berkata ikhlas yang sukar dilihat

Ikhlas hak Allah yang punya Iradat

 

Usia sudah setengah abad

Kehidupan berbudaya dalam lingkungan adat

Jangan lupa umur Junjungan kita wafat

Ingatlah gerbang pusara menggamit rapat

Umur mencecah lima dekad

Mahasabah diri hapuskan dosa yang diperbuat

Keraplah solat sunah Taubat

Periksa sedekah derma dan zakat

 

15/5/25, Lorong 8

 

 

APAKAH YANG MENYEKAT DI JALAN

 

2026 akan menjelang

dengan kata selamat datang

dengan perasaan riang

tetapi rinduku merendang

di manakah anak-anak cucuku, sayang

 

2025 menatih pergi

Hingga ke saat ini

Tapi, yang dirindu belum menampilkan diri

Apakah yang menyekat di jalan?

 

20/12/25, Toa Payoh

 

 

NIKMAT DI USIA SENJA

 

Semakin  meningkat usia,

terasa semakin tidak disia-siakan masa walau sesaat.

Hingga terasa mengecapi banyak kenikmatan

yang dahulunya jarang didapat.

Tidur yang nikmat walau sekadar sejam dua

yang dapat tubuh dan otak berehat.

Makan?

Sedap sahaja walaupun hanya masak apa yang sempat.

Itulah nikmat di usia senja.

 

18/12/25, Toa Payoh

 

 

PAK PANDIR DI DESAKU SUDAH TUA

 

Sudah disiapkan isteri, sarapan ala barat

Sudah licin pinggan, habis kopi pekat

Tapi alahai, ke kedai kopi juga Pak Pandir mendekat!

Isteri Pak Pandir harus intai dan siasat.

 

28/4/15, Toa Payoh

 

 

ADUH!

 

Banyak kenangan yang tak mudah dilupakan yang berlaku di Sragen.

Salah satunya, aku dijemput oleh seorang kepala sekolah.

Katanya, “Bunda, sudi kiranya bunda ikut saya, bunda bermesra dengan anak-anak di sekolah, nasihatkan mereka agar mereka menjadi orang yang rajin dan bersemangat.”

Akhirnya …

Aduh!

Bukan anak-anak, tetapi emak-emak, bapa-bapa.

 

29/1/15, Sragen

 

 

JANGAN DIBUAT MAIN PERASAAN RINDU

 

Jangan dibuat main perasaan rindu

Ke rumahnya untuk bertemu

Tetapi dia tak ada, ke mana pun tak tahu

Jalan pulang, tapi kepala teleng bertalu-talu

Mengharapkan yang dirindu

Akan muncul untuk bertemu

Tapi akhirnya hampir tersembam terlanggar batu.

 

(Kasihan suami aku!)

 

12/2/15, Toa Payoh

 

 

DARI AKSARA

 

Puisi terbentuk dari aksara

Aksara dieja menjadi kata

Kata dikarang menjadi ayat

Ayat berangkai membawa cerita

Mengisah kehidupan alam semesta

Termasuk perasaan manusia

Dengan rasa resah duka

Melonjak gembira

Bahagia sengsara

Gundah gulana

Sedih berduka

Riang ria

Lara

 

Menangis tersenyum ketawa

Berperang merampas kuasa

Benci menyampah tak suka

Bergaduh berebut harta

Merajuk kasih bercinta

Marah sayang manja

Bertelagah sengketa

Meluat tak terkata

Iri hati di sukma

Galau bergelora

Aman sentosa

 

20/12/25, Toa Payoh

 

 

*Rohani Din adalah penulis sastera Melayu terkenal dari Singapura, lahir 70 tahun yang lalu. Dia aktif sejak 1997, terkenal dengan siri novel “Diari Bonda”, dan karya lain seperti “Anugerah Buat Syamsiah.” Karya Terkenalnya: Siri “Diari Bonda” (siri pertama diterbitkan 1999), “Anugerah Buat Syamsiah” (pemenang Sayembara Novel Watan), “Sanggar Anugerah Istana” (menduduki tangga kedua Sayembara Novel Watan 2). Rohani Din menerima berbagai Anugerah, di antaranya: Adijasawan Sastera (penerima pertama, 2023) dari Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) atas sumbangannya kepada sastera Melayu di rantau ini.